Wednesday, September 19, 2018

BERITA KELULUT:

70 peratus penternak kelulut mangsa serangan perosak



Petikan Sumber:
https://www.bharian.com.my

ULAT spesis larva black slodier fly, kumbang sab yang berada di dalam sarang kelulut dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti madu dan melumpuhkan industri kelulut Malaysia. - Foto Aslina Abu Bakar
KUALA TERENGGANU: Serangan makhluk perosak, Black Soldier Fly (BSF) dan kumbang, menjejaskan pengeluaran lebih 70 peratus daripada 411 pengusaha kelulut, yang menjadi ahli Kelab Kelulut Malaysia, sejak dua bulan lalu.

Pengasas kelab yang juga pengendali blog Kelab Lebah Kelulut, Musa Yaacob, berkata serangan makhluk perosak terbabit menyebabkan setiap pengusaha yang menjadi mangsa mengalami kerosakan antara 10 hingga 50 peratus.
   
"Serangan lalat hitam itu mula dikesan sejak Jun lalu sehingga mengakibatkan banyak kerugian kerana menjejaskan perolehan madu kelulut yang mampu dijual pada harga antara RM250 hingga RM300 bagi satu kilogram," katanya.

Beliau yang juga bekas Pegawai Penyelidik dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), berkata pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, universiti dan MARDI dengan kerjasama penternak kini mencari punca dan cara mengatasi masalah itu agar tidak berlarutan.

Seorang pengusaha madu kelulut dari Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang, kerugian kira-kira RM10,000 selepas 15 sarang kelulutnya diserang makhluk perosak itu.

Mazlan Yusof, 41, berkata kejadian itu adalah pertama kali dialami sepanjang tiga tahun mengusahakan ternakan madu kelulut.
"Kejadian ini berlaku kira-kira dua bulan lalu, apabila saya dapati 15 daripada 70 sarang kelulut yang dimiliki, didiami larva serangga perosak.
   
"Bagi mengelakkan ia merebak kepada sarang lain, saya terpaksa membakar semua sarang yang terkena serangan," katanya yang ditemui di ladang ternakannya.
Mazlan berkata, setiap sarang yang dibakar mengakibatkan kerugian sebanyak RM700.
   
Katanya, sebelum serangan berlaku, beliau mampu memperoleh sehingga 29 kilogram madu kelulut setiap bulan tetapi kini merosot kepada kurang 20 kilogram.
Sementara itu, penternak kelulut diminta memastikan persekitaran teduh dan bersih serta membakar sarang yang rosak, adalah pendekatan segera boleh diambil penternak kelulut, bagi menangani serangan makhluk perosak, Black Soldier Fly (BSF) dan kumbang, yang dialami mereka sejak dua bulan lalu.

Penyelidik kelulut dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zulkifli Mustafa, berkata suhu persekitaran 'log hive' yang panas menyebabkan kelulut yang berada di dalam sarang tertekan dan bertindak meninggalkan tempat itu.
"Kebersihan persekitaran penting bagi mengelak BSF dan kumbang membiak. Malah, log hive atau sarang batang kayu reput juga perlu ditukar kerana kebanyakannya akan berlubang, yang memudahkan lalat serta kumbang masuk membiak," katanya kepada BH.

Dr Mohd Zulkifli berkata, pengusaha perlu memastikan sumber getah atau lilin yang dikenali sebagai 'resin' mencukupi untuk membantu koloni kelulut memulihkan sarang yang rosak.
"Kawasan persekitaran ladang perlu ada sumber resin yang boleh didapati daripada tumbuhan mengeluarkan getah seperti pokok mangga dan manggis. Ia penting kerana pada musim panas, lilin pada sarang kelulut akan cair.
"Jika sumber resin tidak mencukupi, lubang sarang akan rosak dan mudah dimasuki makhluk perosak. Selain itu, corong pada sarang kelulut juga tidak boleh terdedah kepada air bagi mengelak lilin menjadi lembap dan mudah diceroboh," katanya.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Neurosains di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, berkata bahagian sisi kotak sarang kelulut juga perlu sentiasa dalam keadaan bersih.
Katanya, propolis yang ditinggalkan kelulut pada sekeliling kotak juga boleh menjadi tempat makhluk perosak bertelur dan menghasilkan larva di kawasan itu, seterusnya masuk ke dalam sarang, sekali gus merosakkan madu. 

"Madu yang diserang larva akan dijangkiti kuman serta menjadi masam dan tidak selamat untuk dimakan," katanya.
Mengulas cara menghapuskan serangan yang sudah berlaku pada sarang kelulut, Dr Mohd Zulkifli berkata, pengusaha boleh mengambil tindakan membakar sarang.

"Biasanya, selepas diserang larva, kelulut akan meninggalkan sarang berkenaan. Oleh itu, sarang perlu dibakar bagi menghapuskan makhluk perosak, selain mengelakkan ia merebak ke sarang lain.
   
"Malah penggunaan jaring halus juga perlu dipasang pada sarang yang belum diceroboh," katanya.
Mohd Zulkifli berkata, antara langkah biasa boleh diambil pengusaha adalah menyediakan bahan sisa buangan atau baja untuk memerangkap serangga perosak itu.
SARANG kelulut diancam kerosakan akibat serangan ulat dipercayai daripada lalat dan kumbang. - Foto Aslina Abu Bakar
"Penyediaan ini sebenar tidak begitu berkesan kerana larva ataupun ulat tidak akan mati. Sebaliknya, jika sisa buangan disediakan dengan cara efektif seperti memasukkan mikro organisma yang boleh membunuh larva itu ia mungkin akan memberi kesan yang baik.
   
"Dua minggu lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah membuat perbincangan rasmi untuk mencari penyelesaian isu ini terutama untuk membantu pengusaha dan penternak madu kelulut," katanya.

Mohd Zulkifli menasihatkan pengusaha dan penternak kelulut supaya tidak berputus asa kerana wabak berkenaan dijangka tidak berpanjangan jika langkah penjagaan yang baik diambil.
Katanya, madu kelulut mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana mempunyai khasiat dan biasa digunakan sebagai makanan tambahan atau dijadikan bahan asas dalam kosmetik.

No comments:

Post a Comment

SUMBER MAKANAN LEBAH KELULUT

SUMBER MAKANAN LEBAH KELULUT: Pokok Kegemaran Kelulut - Akasia atau Gelam Petikan Sumber: http://www.kelablebahkelulut.com Kita sedi...